Setiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi
Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10
Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam
iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, umat
Islam mengadakan solat sunat hari raya di samping menyembelih binatang
ternakan seperti unta dan lembu untuk dikorbankan. Penyembelihan korban
dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha dan masih dapat dilakukan
pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Mengikut bahasa, perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi
istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah
Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarah,
menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang
dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam,
Qobil dan Habil.
Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan
korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut.
Kedua saudara itu lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan
korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas
menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud
menenangkan persengketaan tersebut.
Nabi Ibrahim AS setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah,
telah mendapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera
tunggal kesayangannya. Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak
kesayangannya amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS.
Lebih-lebih lagi beliau dikurniakan cahaya mata setelah usianya lanjut,
hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Namun dengan hati yang berat,
Nabi Ibrahim AS menyampaikan juga berita itu kepada puteranya Ismail
mengenai mimpinya itu. Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya,
"...Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi
bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?"
Sebagai seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail
AS telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud
ayat al-Quran:..."Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan
kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang yang
sabar."(as-Saffat:102). Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail
meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim
mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan
bersedia menyembelih.
Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan
menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang
muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah
Nabi Ibrahim AS melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan.
Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam
sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya Aidil Adha dan
hari-hari tasyrik.
Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa kesediaan kedua
orang bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah
Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban
kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para
sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja
berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan
nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar
As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk
menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang
terdahulu.
Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Ini kerana tanpa
semangat berkorban, orang akan keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan
ke Mekah, meninggalkan keluarga dan pekerjaan untuk memenuhi panggilan
Allah. Untuk menyembelih haiwan terpaksa juga mengeluarkan belanja.
Bukan senang untuk mengorbankan harta jika hati tidak bersih daripada
sifat kedekut atau sayangkan harta melaksanakan korban dengan
menyembelih binatang.
Jika pada Hari Raya Aidil fitri yang lalu, kita mengeluarkan zakat
fitrah bagi membantu kehidupan masyarakat yang tidak mampu, maka
penyembelihan korban pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik
berikutnya, juga dalam rangka membantu masyarakat itu sendiri. Cuba
perhatikan, banyak pergolakan di dunia yang berlaku kebanyakannya
ditimbulkan oleh rasa tidak puas hati antara golongan yang lemah yang
tidak mempunyai kecukupan dalam kehidupan serta menderita kelaparan,
terhadap mereka yang hidup dalam kesenangan dan kemewahan. Oleh kerana
itu, umat Islam wajib untuk memikir dan memperhatikan nasib golongan
ini, dan inilah di antara hikmah penyembelihan korban yang mulia.
Dengan demikian, ibadat penyembelihan korban di Aidil Adha bukan
sahaja sebagai tanda shukur nikmat Allah SWT yang telah melebihkan
rezeki kepada kita, tetapi di dalamnya terkandung rahsia hidup
bermasyarakat. Daging korban itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim
sesama golongan umat Islam, juga mampu merapatkan jurang antara yang
kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil dan
terlalu sayangkan harta.
Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan
kepada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua
rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti
persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan
merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan
berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti
tiada perbezaan di antara satu sama lain; baik orang kaya atau miskin,
pemimpin atau rakyat jelata. Pada saat itu, mereka merasakan ikatan
ukhuwah sesama agama Islam begitu erat tanpa menghiraukan perbezaan
warna kulit, bangsa, budaya dan tempat asal mereka. Semoga tetamu Allah
kali ini mendapat haji yang mabrur, yakni haji yang diterima. Haji yang
ganjarannya dihapuskan seluruh dosa dan layak memasuki syurga.
No comments:
Post a Comment